Sunday, December 19, 2010

Bila Terasa Rindu ( versi Nasyid)




Sy memang minat sgt ngn lagu DAFI-Bila Terasa Rindu tu...tp bila dengar lagu Bila Terasa Rindu(Versi Nasyid) nie, bertambah minat sy ngn lagunya + lirik lagunya yg menyentuh qalbuu~~ Jom dengar n hayati lagu nie d(^_~)b


Saturday, December 18, 2010

Aku Tak Menduga Sayangmu Part 4 (Tamat)

***Baca cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 3 di SINI


AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 4)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Selamat pengantin baru.. semoga kekal abadi... bahgia ke anak cucu... Semoga murah rezeki... Alhamdulillah bertemu jodohnya... berkat kesucian akan terlaksana...”
      Akhirnya, dalam keindahan pagi yang bening itu, tanggal 20 Disember 2012, bermula pada jam 9 pagi, maka berlangsunglah satu majlis pernikahan yang begitu meriah di banglo mewah milik Puan Raida yang tersergam indah itu. Ramai jiran tetangga dan saudara mara yang telah hadir untuk memeriahkan lagi majlis pernikahan tersebut. Bertemakan warna hijau lime, dipadankan dengan warna hijau pekat dan warna krim yang lembut, membuatkan majlis itu menjadi amat berseri. Ditambah pula dengan hiasan bunga manggar di sekeliling rumah. Bunga telur dan sedikit bunga mawar putih yang dihiaskan di pelamin, menambahkan lagi seri majlis pada pagi itu.
      Para tetamu sedang asyik dengan agenda yang sedang dijalankan iaitu nyanyian lagu pengantin baru yang dinyanyikan oleh jiran tetangga dan saudara mara dari kalangan kanak-kanak remaja dan orang dewasa, sementara menanti kedua-dua mempelai turun bersanding. Nampaknya para tetamu sudah tidak sabar menanti kelibat kedua-dua mempelai.
     Semua mata tertumpu ke arah kedua mempelai yang sedang berjalan menghampiri pentas pelamin berhias mawar putih yang indah itu. Pengantin perempuan dengan kemas menyusun langkah sambil melemparkan satu senyuman manis kepada para tetamu yang hadir. Dengan pakaian pengantin yang anggun bertatahkan berlian-berlian kecil, sambil menggenggam sejambak mawar merah beserta sedikit solekan pada wajah, cukup membuatkan wajah pengantin perempuan kelihatan berseri-seri, terserlah keayuan dan keasliannya sebagai seorang gadis melayu, sungguh menawan kalbu. Begitu juga pengantin lelaki yang berpakaian indah, kelihatan gagah dengan keris yang terselit kemas di pinggang, kedua-dua mempelai diiringi gadis-gadis kecil molek yang digelar ‘Flower Girl’. Sungguh comel sekali.
      Amir menjeling ke arah Aisyah dengan satu senyuman indah terukir di bibir, Aisyah turut melirik senyum sambil tersipu malu. Amir tidak menyangka, bahawa hari itu bakal terjadi. Hari di mana dia sedang duduk bersanding di atas pelamin bersama gadis pujaan hati yang telah lama diimpikannya. Sungguh dia tidak menduga detik yang indah itu bakal bertandang dan menyinari hidupnya. Amir memanjatkan syukur kepada Illahi di atas segala kenikmatan hidup yang telah diberikan kepadanya. Amir amat bersyukur kerana telah mendapat kasih sayang yang tidak terperi dari ayahnya, walaupun ibunya telah lama meninggal dunia, namun kasih ayahnya terhadap dirinya tidak pernah berbelah bagi dan tanggungjawab ayahnya tidak pernah diabaikan sama sekali. Amir juga amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang amat dikasihinya. Segala penderitaan hidup yang dilaluinya bersama ayah dulu kini terbalas dengan sejuta kenikmatan. ‘Alhamdulillah.. Terima kasih di atas kurniaan-Mu ini, Ya Allah.. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku yang Maha Agung,  yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang’. Amir melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di hatinya.
    Pak Arshad dan Puan Raida telah bersepakat untuk membatalkan perkahwinan mereka apabila Pak Arshad mengetahui bahawa Amir sebenarnya menyintai Aisyah. Pak Arshad amat terkejut, dia tidak menyangka sama sekali bahawa Amir akan bertindak untuk melupakan Aisyah dan telah menyetujui pernikahannya bersama Raida. Pak Arshad lah yang telah berbincang dengan Puan Raida untuk membatalkan perkahwinan mereka seterusnya melangsungkan perkahwinan Amir dan Aisyah. Kedua-dua mereka akur dengan kehendak dan takdir Illahi  bahawa tiada jodoh di antara mereka. Mereka telah ditakdirkan bercinta, tapi tidak sempat memiliki, ditakdirkan bertemu kembali, tapi bukan untuk bersatu. Kerana mencintai, tidak semestinya memiliki.
     Berbekalkan ketabahan hati dan kekuatan iman di dada, Pak Arshad dan Puan Raida berjaya menepis perasaan masing-masing dan lebih mengutamakan perasaan anak kesayangan mereka. Mereka tidak mahu kisah mereka itu berulang kembali dan terjadi kepada anak-anak mereka. Cukuplah hanya mereka sahaja yang merasai, betapa perihnya rasa kehilangan itu. Namun, tidak pernah sesekali timbul rasa menyesal di hati mereka, tidak pernah terlintas rasa ingin memberontak, kerana setiap apa yang berlaku itu, sudah menjadi ketentuan yang Maha Esa, dan pasti itulah yang terbaik buat mereka. Sebagai seorang manusia biasa dan hamba Allah yang lemah, mereka hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t yang berkuasa menentukan segalanya...
@@@@@@@@@@@@@
TAMAT
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


“Kita hanya mampu berusaha.. Hanya Allah menentukannya.. Segalanya adalah miliknya..”

Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen hasil nukilan PutRy CiNta... (^_^)y

Jom Baca sajak Ramadhan Dan Raya nukilan PutRy di SINI

AKu Tak Menduga Sayangmu (Part 3)

***Baca  cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 2 di SINI

AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 3)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Kenapa macam ni Amir.. Anak ayah tak suka ke..?”
      Pak Arshad cuba menenangkan anaknya, dia tahu, Amir pasti terkejut mendengar apa yang telah diberitahunya sebentar tadi. Pak Arshad mengusap-usap bahu Amir perlahan dengan harapan Amir akan dapat menenangkan fikirannya dan perasaannya.
“Amir.. masanya tak sesuaikah untuk ayah beritahu Amir tentang perkara ni?”
Pak Arshad cuba meneliti dan mencari sebab mengapa Amir berkelakuan sebegitu.
“Tak sesuai ayah. Masanya memang tak sesuai, tak sesuai!” Suara Amir masih lagi keras, kali ini seperti ingin meninggikan suaranya tetapi sedaya upaya cuba ditahan.
“Maksud Amir? ” Ayah rasa, inilah masa yang sesuai, Amir dah besar sekarang, dah ada masa depan yang cerah. Dan ayah yakin Amir akan faham.”
     Pak Arshad menggeleng perlahan. Dia tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena pada pandangan Amir. Dia tidak mahu anaknya menyangka bahawa dia tidak menyayangi umi Amir, isterinya yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Dia amat menyayangi isterinya itu, dia juga tidak menyangka perasaan yang telah lama terkubur di lubuk hatinya yang paling dalam akan hidup kembali. Sungguh dia tidak menyangka, kasihnya terhadap wanita itu sebegitu rupa.  Pak Arshad tidak berputus asa dan masih cuba menjelaskan kepada Amir perkara yang sebenar.
“Amir tak setuju ayah kahwin dengan makcik Raida? Amir.. ayah bercadang nak kahwin dengan makcik Raida, bukan kerana ayah dah lupakan umi Amir.. ayah masih sangat sayangkan umi Amir.. tapi.. ayah pun tak menduga perkara ni akan berlaku, ayah tak dapat menipu diri sendiri.. ayah juga sayangkan Raida”.
Tiada jawapan. Amir diam membisu. Pak Arshad sabar menanti jawapan dari anaknya. Tidak lama kemudian, Amir pun bersuara.
“Ayah.. kenapa sekarang baru ayah bagitau Amir? Kenapa tak dari dulu lagi? 11 tahun yang lalu. Kenapa sekarang ayah? Kenapa?!”
Amir memalingkan wajahnya dari memandang ayahnya, dia tidak mahu ayahnya mengetahui gejolak perasaan yang dialaminya saat itu.
“Ayah takut Amir tak dapat terima kalau ayah beritahu Amir perkara ni dari dulu, masa tu Amir masih kanak-kanak lagi, Amir takkan faham dan Amir tentu takkan dapat terima..”
“Amir terima ayah.. takkan ayah tak kenal anak ayah? Amir pasti setuju kalau ayah bagitau Amir dari dulu lagii, tapi kenapa sekarang baru ayah bagitau Amir semua ni, Amir bingung ayah!”
“Bingung? Apa yang buat anak ayah bingung? Bagitau ayah Amir.. Amir tak suka makcik Raida ke?”
“Bukan tak suka ayah.. Malahan Amir terhutang budi pada makcik Raida kerana dah banyak tolong kita, beri pekerjaan pada ayah, bantu biayai pengajian saya, dan menjaga kebajikan ayah sepanjang saya dalam pengajian. Saya ingat semua tu ayah, saya tak pernah lupa walau sedikit pun semua budi dan jasa makcik Raida pada kita selama ni.”
Lega Pak Arshad mendengar kata-kata Amir.
“Baguslah macam tu nak.. Ayah yakin Raida boleh jadi ibu yang baik untuk Amir, dan Aisyah pula, ayah tahu Amir sayangkan Aisyah dan ayah yakin Amir dapat  menerima Aisyah sebagai adik kelak. Kalau begitu.. apa sebenarnya perkara yang buat Amir tak setuju?.”
      Amir menghampiri jendela dan melontarkan pandangannya jauh ke luar rumah. Suasana yang hening ketika itu ditambah pula dengan tiupan angin yang berpuput sepoi-sepoi bahasa, membantu menenangkan gejolak perasaan Amir yang sedang membara saat itu. Amir mendongak, merenung langit luas. ‘Ya Allah, aku ini hamba, Engkaulah Khaliq, yang mengetahui segala hikmah di sebalik kemelut diriku ini’. Desis hati Amir. Pak Arshad hanya melihat perlakuan Amir dan menunggu Amir bersuara. Amir menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara.
“Hmm... makcik Raida memang seorang yang baik ayah.. dan juga ibu yang baik.. tapi..”
“Tapi kenapa Amir..?”
“Ayah...”  
     Amir menggenggam erat tangan ayahnya. Wajah Aisyah, gadis pujaannya itu, bermain-main di kotak fikirannya. Bersilih ganti dengan wajah ayahnya yang telah banyak berkorban dan berjasa kepadanya, yang tidak pernah jemu mendidik dan mengasuhnya dengan penuh kasih sayang. Sehinggalah dia menjadi seperti hari ini.
“Baiklah ayah, Amir setuju”
Suasana sunyi seketika.
“Alhamdulillah.. terima kasih anak ayah”
      Pak Arshad memeluk anak kesayangannya itu, Amir sedaya upaya cuba mengukir senyum, walaupun pilu dihatinya, terasa bagai dihiris belatih tajam. Namun Amir tumpang gembira untuk ayahnya. ‘Amir sayangkan ayah...’ Bisik hatinya.

Hembusan bayu yang bertiup...
Bersama deruan ombak...
Yang memukul pantai... Hatiku sayu bila mengenangkan..
Perpisahan yang tiada diundang...
Bertahun kita melangkah bersama.. Seia cita-cita buat bekalan kesana..
Harapan ayah bonda... Janji pada agama....
Kita kan terus mara.. Biarpun badai yang datang melanda..
Kita hanya mampu berusaha.. Hanya Allah menentukannya..
Segalanya adalah miliknya... Dalam berusaha kita diuji..
Kekadang tohmah kita dicaci.. Diturutkan rasa hati..
Ingin dilepaskan beban ini.....

Amir tertarik untuk menghayati alunan lagu dendangan kumpulan Far East yang sedang berkumandang di corong radio. Terpukul hatinya tatkala mendengarkan bait-bait lagu tersebut. Astaghfirullah hal ‘azim.... Amir beristighfar di dalam hati. ‘Ya Allah.. tabahkanlah hati hambamu ini..’.
      Sementara itu, di rumah banglo milik Puan Raida yang bertentangan dengan rumah Pak Arshad, Puan Raida dan Aisyah juga sedang membincangkan hal yang sama.
 “Aisyah sayangkan  Amir, ibu...” bercucuran air mata Aisyah membasahi pipinya yang gebu itu.
“Maafkan ibu, Aisyah.. ibu tak sangka perkara ni boleh jadi macam ni..” Puan Raida memeluk Aisyah dan cuba untuk menenangkannya.
“Ibu tak perlu minta maaf... ibu tak bersalah.. mungkin semua ni dah ditakdirkan..” esakan Aisyah semakin jelas kedengaran.
“Tidak Aisyah, ibu akan batalkan......”
“Jangan ibu..!”
Belum sempat Puan Raida menghabiskan kata-katanya, Aisyah memintas kata-kata itu lalu menggenggam erat tangan ibunya.
bersambung....
@@@@@@@@

***Baca sambungan cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 4 di SINI

Aku Tak Menduga Sayangmu (Part 2)

***Baca  cerpen Aku Tak menduga Sayangmu Part 1 di SINI

AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 2)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Kringg…. Kringgg… Kringgggg….
Amir tersedar dari lamunannya, bunyi  loceng sekolah menandakan waktu persekolahan telah tamat. Amir cepat-cepat mengemaskan buku dan pen yang bertaburan di atas meja tulisnya.
“Amir!.. Jom balik sama-sama”
Aisyah tersenyum manis kearah Amir ketika mempelawanya untuk pulang bersama-sama. Amir membalas senyuman Aisyah lalu mengangkat begnya dan menghampiri Aisyah.
“Jom”  Amir menunjukkan isyarat tangannya. Mengajak Aisyah untuk pulang bersama.
“Jom...” Aisyah ketawa kecil lalu mengekori langkah Amir dan berlalu meninggalkan bilik darjah .
     Begitulah setiap hari, Aisyah akan pulang dari sekolah bersama Amir. Amir akan menghantar Aisyah sehingga ke hadapan pintu pagar asrama perempuan dahulu, kemudian barulah dia pulang ke blok asramanya. Puan Raida telah memberi amanah kepada Amir untuk menjaga Aisyah. Amir sedaya upaya cuba melaksanakan amanah itu sebaiknya kerana Puan Raida telah banyak membantu Amir dan ayahnya. Amir amat terhutang budi kepada Puan Raida.
    Setelah 5 tahun berlalu, usia Amir sudahpun mencecah 17 tahun dan Amir kini sedang berada di dalam tingkatan 5. Lima tahun yang lalu, Amir dan Aisyah adalah antara pelajar cemerlang UPSR yang telah mendapat tawaran untuk  melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh yang terletak di bandar. Kini mereka belajar dalam satu sekolah yang sama dan masih kekal sebagai rakan sekelas seperti 5 tahun dahulu.
     Sudah 6 tahun Amir dan Aisyah belajar dalam satu kelas yang sama sejak dari darjah 6 lagi. Mereka bermain bersama, belajar bersama, pulang ke kampung bersama-sama dan beriadah bersama di hujung minggu ditemani rakan-rakan yang lain, semuanya menjadi rutin harian selama 5 tahun berada di sekolah yang sama. Sehinggakan ada segelintir pelajar malahan para guru, telah tersalah anggap hubungan rapat di antara mereka itu. Namun segalanya menjadi reda apabila rakan-rakan mereka dimaklumkan bahawa ibu dan ayah mereka adalah teman rapat. Disebabkan itulah Amir amat menjaga kebajikan Aisyah dan menemaninya selalu.
“Aisyah, awak ada apa-apa ke ngan Amir ni, ha? hmm.. mungkin mak ngan abah korang berdua dah tunangkan korang masa kat kampung dulu kot? Pasal tu la korang berdua ni rapat sangat, mengalahkan pasangan kekasih. O.. korang berahsia ek... hehehe”
     Fisha tergelak kecil setelah semena-mena mengajukan soalan maut kepada Aisyah ketika mereka sedang duduk berkumpul di pondok cendawan belakang kelas sambil membincangkan tentang kerja kumpulan yang akan dibentangkan pada minggu hadapan. Dan tanpa dipinta, Fisha telah membuat tanggapan sendiri. Aisyah terpempan mendengar kata-kata Fisha itu. Serta merta wajahnya yang putih mulus itu merona merah, Kata-kata Fisha itu membuat hatinya jadi kacau. Tambahan pula tuan yang empunya diri itu turut berada di situ. Malu Aisyah diajukan soalan yang sebegitu rupa.
“Amir, sampai hati hang tak jemput aku pi majlis tunang hang, takpa.. makan nasik minyak esok jangan lupa jemput na.. hahaha” Irfan menambahkan lagi hangat suasana ketika itu.
“Fann... jangan nak memandai..” Amir menunjukkan buku limanya kepada Irfan tapi turut diiringi senyuman senget di bibir.
“Eh... muka Aisyah dah merah la... malu lah tu... hehehe..” Syika sengaja mengusik Aisyah yang kelihatan sudah tidak keruan sejak dari tadi.
“Mana ade.. korang ni kan..” Aisyah menolak lembut bahu Syika.
     Aisyah cuba mengelak daripada bertemu mata dengan Amir yang  duduk betul-betul di hadapannya. Malunya Aisyah saat itu hingga sudah tidak sanggup untuk mengangkat mukanya. Aisyah bukan tidak biasa diusik sebegitu, malahan sudah berkali-kali rakan-rakan sekelas mengusiknya dengan  Amir, tapi entah kenapa, tiba-tiba lidah Aisyah kelu untuk menangkis usikan rakan-rakannya itu. Hatinya memberitahu, seakan-akan ada satu perasaan asing yang hadir bertandang dalam jiwa remajanya itu. Sesaat kemudian, kedengaran deraian tawa Fisha, Irfan dan Syika memecah suasana. Aisyah tertunduk malu tatkala terlihat sepasang mata sedang merenungnya lama, dengan satu senyuman kecil tersimpul di bibir, penuh bermakna.
@@@@@@@@@@
     Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, tanpa disedari Amir dan Aisyah kini telah berjaya menggenggam segulung ijazah. Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan DarsyiQ Ladzuardi, Amir dan Aisyah telah melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti Zufre de Xuiqifshee, yang terletak di negara Naorzs. Sungguh tidak disangka-sangka, mereka akhirnya memasuki universiti yang sama dan menamatkan pengajian bersama-sama. Amir telah menolak beberapa tawaran yang lain semata-mata kerana ingin mengikuti jejak Aisyah ke universiti Zufre de Xuiqifshee dan kebetulan, Amir sememangnya meminati kursus yang ditawarkan disitu. Berbeza pula dengan Aisyah, Universiti Zufre de Xuiqifshee itu sudah menjadi impiannya sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Aisyah telah lama bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke universiti itu, kerana di situlah tempat pengajian ibunya suatu masa dahulu yang telah menjadikan ibunya berjaya seperti sekarang ini.
“Tahniah sayang...”
     Puan Raida mengucup lembut dahi Aisyah, di bibirnya terukir satu senyuman manis penuh kesyukuran. Setelah bersalaman dan mencium tangan ibunya memohon restu, Aisyah memeluk dan mencium pipi ibunya. Kelihatan sinar kegembiraan terukir di wajah kedua beranak itu.
“Tahniah Amir, anak ayah memang hebat!”
   Pak Arshad memeluk Amir erat sambil menepuk-nepuk bahu anak kesayangannya itu. Titisan air mata kegembiraan mengalir membasahi pipi, pak Arshad amat bersyukur di atas kejayaan anak tunggalnya itu. Amir mencapai tangan ayahnya lalu mencium tangan itu dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang. Betapa besarnya kasih sayang dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Pak Arshad. Pengorbanan dan kasih sayang Pak Arshad itulah yang telah menjadikan Amir seperti sekarang ini, mampu berdiri gah menggenggam segulung ijazah.
@@@@@@@@@@
“Sya... Amir sayangkan Aisyah, lebih dari sayang sebagai seorang abang kepada adik,  Amir berhasrat nak sunting Aisyah jadi teman hidup Amir,  Amir nak jadikan Aisyah isteri Amir yang sah”.
    Itulah saat yang telah lama dinanti-nantikan oleh Aisyah, Amir akhirnya meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Aisyah tunduk, cuba menyembunyikan wajahnya dari tatapan mata Amir, jantungnya berdegup kencang, perasaannya bercampur baur ketika itu, gembira, terharu, bercampur malu, tidak pernah dia rasakan perasaan seindah itu. Mungkin kerana selama ini dia terlalu mengutamakan pelajarannya sehingga tidak ada masa untuk memikirkan soal hati dan perasaan. Tapi sekarang, adakah sudah tiba masanya dia memberikan sedikit ruang kepada hatinya untuk bersedia menerima cinta dan kasih sayang daripada seorang insan bergelar lelaki?
“Aisyah...?”
      Amir masih menanti jawapan dari Aisyah, Aisyah mengangkat wajahnya perlahan lalu merenung  tepat ke dalam mata Amir yang galak itu. Terpamer keikhlasan di mata Amir, menunjukkan ada kejujuran dalam kata-katanya. Aisyah yakin bahawa Amir tidak membohonginya, dia yakin dengan apa yang baru sahaja didengarnya dari mulut Amir sebentar tadi, dan dia juga turut merasakan perasaan itu. Sungguh dia tidak menduga perasaan sayang itu akan bertukar menjadi cinta. Cinta sejati yang bakal membawa mereka ke jinjang pelamin.
“Hari ni adalah hari yang penuh bermakna dan membawa bahagia buat Aisyah. Aisyah tak mampu menipu diri sendiri. Hati berkata sayang, namun bibir terasa berat dan lidah  kelu untuk meluahkan kata. Sebenarnya.. Aisyah juga rasakan yang sama, Amir. Terima kasih kerana menyayangi Aisyah”.
     Aisyah menyusun kata-kata, menyampaikan maksud hatinya, menerima cinta Amir. Maka bermulalah kisah cinta antara Amir dan Aisyah. Amir tersenyum memandang gadis pujaannya itu, penawar hatinya. Di hatinya tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur kepada Illahi kerana doanya telah dimakbulkan, hasratnya yang telah lama terpendam, kini bakal menjadi kenyataan.
@@@@@@@@@@@
      Amir dan Pak Arshad sedang duduk-duduk sambil mendengar radio di ruang tamu rumah mereka yang kini telahpun dibaiki dan sudah tidak usang lagi. Amir telah merancang untuk membeli rumah baru tetapi Pak Arshad menyuruh Amir supaya menyimpan dahulu wang tersebut untuk kegunaan yang lebih penting kelak. Lagipun, Pak Arshad amat menyayangi rumah lamanya itu. Sekadar mengecat dinding dan bumbung rumah, menukar perabot yang sudah usang, dan membaiki kerosakan kecil pada rumah itu sudahpun mencukupi bagi Pak Arshad. Biarlah anaknya sahaja yang merasai tinggal di rumah mewah, apabila anaknya sudah berkahwin dan memiliki rumah sendiri yang lebih besar dan lebih cantik dari rumahnya itu nanti.
 “Amir.. sebenarnya ada perkara yang ayah nak cakap dengan Amir. Dah lama ayah nak beritahu, tapi tak ada masa yang sesuai. Ayah rasa, sekaranglah masa yang paling tepat untuk Amir tahu tentang perkara ni.”
Kata-kata Pak Arshad sebentar tadi amat menarik perhatian Amir. Amir tertanya-tanya, apakah yang bakal didengarnya dari mulut ayahnya sebentar lagi..
“Apa dia ayah?”
Amir memandang tepat ke dalam mata ayahnya yang redup itu. Pak Arshad memegang bahu Amir lalu menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-katanya.
“Amir dan Aisyah memang dah maklum yang ibu Aisyah, makcik Raida ,adalah teman sekampung ayah dulu, kan? Erm.. Ayah tak ceritakan pada Amir, sebenarnya makcik Raida ialah bekas kekasih ayah dulu, sebelum ayah berkahwin dengan umi Amir. Perkahwinan antara ayah dan umi Amir adalah atas pilihan keluarga. Ayah sangat sayangkan umi Amir... tapi, ayah sungguh tak menduga yang ayah akan bertemu kembali dengan Raida. Kemunculan Raida membuatkan ayah berfikir, apakah jodoh antara kami masih ada..?”
Pak Arshad terbatuk kecil sebelum menyambung kata-katanya. Amir tenang sahaja dan masih tekun mendengar semua yang akan disampaikan oleh ayahnya.
“Setelah 13 tahun terpisah, akhirnya kami ditemukan kembali. Dan itu pun setelah Allah mengambil umi Amir dari ayah. Mulanya ayah amat terkejut bila dapat tahu yang Raida dah berpindah masuk ke rumah banglo di depan rumah kita tu, tapi ayah cekalkan hati, mungkin itu ujian untuk ayah. Namun.. setelah ayah bekerja di rumah Raida selama 11 tahun, sepanjang tempoh Amir melanjutkan pelajaran, dari tukang kebun, ayah dinaikkan pangkat menjadi pemandu kepada Raida, setiap hari ayah menghantar dan mengambil Raida di pejabat, dan tanpa ayah sedar, perasaan  yang dulunya dah terkubur, kini datang kembali. Ayah dan Raida dah lama merancang, hari perkahwinan kami adalah selepas Amir dan Aisyah dapat ijazah...”
Belum sempat Pak Arshad menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Amir berdiri dan bersuara.
“Ayah nak kahwin dengan Puan Raida?”
Agak keras suara Amir tetapi nadanya tidak tinggi, masih sopan dan ada rasa hormat.
“Ya Amir.. apa pendapat Amir?
“Amir....”  Amir tidak meneruskan kata-katanya.
 Amir menundukkan kepalanya lalu matanya dipejam rapat, kelihatan dahinya berkerut dan tangannya digenggam. Pak Arshad terpanar melihat reaksi Amir yang sebegitu.

bersambung....
**Baca sambungan cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 3 di SINI

Aku Tak Menduga Sayangmu (Part 1)

Tok3!!~ Assalamualaikummmm...

Tuan PutRy datang bawak kaRya keCiL...
Nie cerpen saya buat masa umur 19 tahun,
klu x silap... hehe..
Apa2 pon, Enjoy your reading ya... (^_~)y






AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 1)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
    Awan yang kelabu berarak mendung menutupi langit biru. Cahaya mentari kelihatan sirna dipuput senja yang kian berlabuh. Angin petang mulai bertiup, rancak menampar-nampar pipi Amir, menambahkan lagi resah di hatinya. Tidak sampai seminit, titis-titis hujan sudah mulai turun membasahi bumi. Kelihatan Puan Raida sedang berlari-lari anak melulu keluar dari rumahnya, tergesa-gesa mengangkat pakaian di jemuran yang nyaris kuyup dibasahi hujan. Amir yang masih setia menanti kepulangan ayahnya  hanya duduk di tepi tangga rumah sambil memerhati gelagat Puan Raida, seorang janda yang beranak satu, iaitu jiran yang baru sahaja berpindah masuk ke rumah banglo di hadapan rumahnya yang hanya bersaiz sederhana dan sudah agak usang itu.
   Rumah banglo di hadapan rumahnya itulah yang menjadi santapan mata Amir setiap hari, sejak rumah itu siap dibina akhir tahun lalu. Rumah itu adalah impian Amir dan dia sememangnya telah lama menyimpan hasrat ingin memiliki rumah banglo secantik dan semewah itu. Hasrat dan keinginan yang tinggi di hati Amir telah membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membina sebuah rumah seperti itu kelak. Kelibat Puan Raida sudah tidak kelihatan. Pintu rumah banglo itu sudahpun tertutup rapat. Mungkin Puan Raida sudah masuk ke dalam rumah dengan mengangkat seraga pakaian yang dibawanya keluar sebentar tadi.
   Amir melihat jam dinding rumahnya, jam dinding yang telah dihadiahkan oleh arwah datuknya dulu. Jam menunjukkan pukul 9.47 minit malam. ‘Sudah lewat begini, kenapa ayah masih belum pulang?’. Desis Amir. Resah hatinya memikirkan ayahnya yang masih lagi belum pulang. Kebiasaannya Pak Arshad akan pulang ke rumah selewat-lewatnya pada pukul 7.30 malam. Pak Arshad akan habis bekerja pada pukul 7 malam dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke rumah dengan menaiki beca tuanya. Pak Arshad ialah seorang penarik beca yang sangat rajin. Pak Arshad hanya menarik beca pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, manakala pada hari Isnin hingga Jumaat pula Pak Arshad akan bekerja sebagai buruh binaan. Walaupun umurnya kian lanjut dimamah usia, dan terpaksa bersusah payah, berpenat lelah, bermandi peluh mengerah tulang empat keratnya untuk bekerja, namun pak Arshad tidak pernah berhenti mencari nafkah untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan anak tunggalnya, Amir. Pak Arshad berjuang seorang diri, mengasuh dan mendidik Amir sejak kematian isterinya 3 tahun yang lalu. Ketika itu Amir sedang berumur 9 tahun. Selama 3 tahun Pak Arshad menjadi ibu dan ayah kepada Amir, dialah ibu dialah ayah, dan ternyata Pak Arshad berhasil mendidik  Amir menjadi seorang anak yang bertanggungjawab serta soleh.
   Amir menampar-nampar nyamuk yang cuba menjamah darahnya. Terasa sejuk angin malam seakan mencengkam tulang. Setelah penat menunggu, ditambah pula dengan kesejukan angin malam yang menggigit, akhirnya Amir masuk ke dalam rumah dan menutup rapat pintu rumah. Sesekali dia membuka pintu dan melihat kalau-kalau ayahnya sudah tiba. Namun Amir hampa, kelibat ayahnya masih jua belum muncul. Amir membelek-belek kertas putih yang sejak dari petang tadi berada di tangannya. Kertas itu tidak lepas dari tangannya. Amir hanya melepaskan kertas putih itu ketika dia pergi menunaikan solat maghrib dan isyak sebentar tadi, tapi setelah itu, dia kembali mencapai dan memegang erat kertas putih itu. Terlalu berharga sehelai kertas putih itu buat dirinya, terlalu penting!
Tok! Tok! Tok!.......
   Bunyi ketukan pintu mengejutkan Amir dari lena, entah bila dia terlelap di atas tikar mengkuang di ruang tamu rumahnya, dia pun tidak sedar. Amir bangkit perlahan-lahan, terasa sengal bahunya, mungkin kerana tersalah tidur. Amir menggosok-gosok matanya sebelum melihat jam pada dinding.
“Hah? dah pukul 1 pagi??”
     Amir terkejut melihat jam yang sudah menunjukkan tepat pukul 1 pagi. Amir menggosok-gosok matanya lagi, tiba-tiba kedengaran bunyi suara memanggil namanya dari luar rumah.
“Amir.....Amir......”
   Sayup kedengaran suara itu memanggil-manggil nama Amir.  Pintu rumahnya diketuk berkali-kali. Amir bingkas bangun dan mengintai di sebalik tingkap, mencari-cari kelibat orang yang memanggil namanya sebentar tadi, tapi tidak kelihatan.
    Tiba-tiba bahu Amir disentuh dari belakang. Amir terperanjat lantas dia menepis tangan yang menyentuh bahunya lalu mengatur langkah untuk mempertahankan diri. Alangkah terkejutnya Amir apabila melihat ayahnya terbongkok lemah, seperti sedang menahan sakit yang amat perit.
“Ayah!!”
Amir menjerit memanggil nama ayahnya. Amir amat terkejut melihat ayahnya dalam keadaan begitu. Pak Arshad telah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci. Mungkin Amir terlupa untuk menguncinya petang tadi.
“Ayah, apa yang berlaku pada ayah?”
    Lantas Amir memapah ayahnya masuk ke dalam bilik. Terhinjut-hinjut Pak Arshad ketika dipapah Amir, sudah tidak berdaya lagi hendak mengeluarkan kata-kata untuk menerangkan apa yang berlaku kepadanya.
@@@@@@@@@
    Sayu Amir melihat sekujur tubuh ayahnya yang sedang terbaring lesu itu. Bermain-main di ruang fikirannya. ‘Apa yang berlaku pada ayah?..’ Mata Amir sudah berkaca, air mata yang sudah bergenang di tubir matanya hanya menanti masa untuk dicurahkan, namun Amir tidak mudah menangis, kerana Amir seorang anak lelaki yang kental dan tabah. Menangis bererti lemah, itulah prinsip Amir, anak lelaki tidak boleh menangis! Amir cuba meneguhkan kembali semangatnya yang kian pudar itu...
    Fikiran Amir kusut memikirkan apa sebenarnya yang berlaku kepada ayahnya. Adakah ayahnya sakit kerana dipukul orang atau sebaliknya. ‘Apa penyakit yang menyerang ayah? Kenapa ayah jadi selemah itu? Adakah kerana usia ayah yang semakin lanjut? Mustahil.. ayah baru berumur 37 tahun.’ Pelbagai soalan timbul menerpa ruang benaknya. Ternyata Pak Arshad kelihatan lebih tua dari usianya, mungkin kerana terlalu banyak melakukan kerja-kerja berat sepanjang hari.
“Eh, mana slip saya?”
     Amir menggelabah apabila mendapati kertas putih yang dipegangnya sejak dari tadi sudah tidak ada dalam genggamannya. Amir cuba mencari kertas itu di sekitar kawasan tempat dia sedang berdiri, tetapi tidak jumpa. Amir mulai panik, perlahan-lahan dia menarik nafas panjang dan berselawat. Setelah itu dia cuba mencari kertas itu di ruang tamu tempat dia terlelap semalam. Akhirnya Amir menemui kertas itu di atas tikar mengkuang di ruang tamu. Amir tersenyum lega lalu mengutip kertas itu. Tetapi, sekejap sahaja senyumannya itu menjadi hambar dan bertukar sayu, terasa pilu hati Amir tatkala terkenangkan ayahnya yang sedang terlantar sakit di hospital Sayyed al-Rasheed.
“Assalamualaikum...Amir tengah buat apa tu? Dah makan? Ni mak cik ada buatkan bubur untuk Amir”
     Lembut suara Puan Raida ketika berkunjung ke rumah Amir pada pagi itu. Amir tersenyum melihat Puan Raida dan anak perempuannya Aisyah yang sedang berdiri di muka pintu, membawa sebekas makanan.
“Wa’alaikumsalam... Terima kasih makcik, err..makcik, Aisyah, masuklah.”
     Dalam kepiluan yang melanda hati Amir saat itu, Amir sedaya upaya mengukir senyum lalu mempelawa Puan Raida dan Aisyah masuk. Perlahan-lahan Puan Raida dan Aisyah mengatur langkah menaiki anak tangga untuk masuk ke rumah Amir.
“Bagaimana keadaan ayah kamu Amir? Dah semakin baik?”
Puan Raida bertanya khabar Pak Arshad yang ketika itu sedang dirawat di hospital.
“Ayah dah semakin baik makcik, Terima kasih kerana makcik dah banyak bantu kami..Kalau tak, Amir tak tahu nak buat apa lagi..”
     Amir menyuarakan rasa syukur dan terima kasihnya kepada Puan Raida kerana sudi membantu mereka. Puan Raida telah menghantar Pak Arshad ke hospital yang berdekatan serta menjaga dan melihat keadaan Amir sepanjang Pak Arshad berada di hospital. Puan Raida juga telah membiayai kos rawatan Pak Arshad dan menjaga kebajikan Amir sepanjang Pak Arshad berada di hospital selama dua hari. Amir amat terhutang budi kepada Puan Raida. Amir amat bersyukur kerana masih ada orang yang sebegitu baik di zaman sekarang ini.
“Tak mengapa Amir.. kita kan berjiran, memang dah menjadi tanggungjawab makcik untuk bantu jiran yang sedang dalam kesusahan.. Lagipun, apa gunanya kita hidup berjiran kalau tak saling bantu-membantu, bukan begitu?”
    Sahut Puan Raida sambil tersenyum memandang Amir yang bertubuh kurus dan berkulit sawo matang itu. Puan Raida amat senang dengan tingkah laku Amir yang sopan, mentaati orang tua, bertanggungjawab dan matang. Walaupun Amir baru berumur 12 tahun tetapi sikap  Amir mempamerkan seolah-olah dia sudahpun berumur 16 tahun. Puan Raida amat mengagumi didikan Pak Arshad terhadap anaknya. Benarlah kata orang, kesusahan banyak mengajar kita mengenal erti sebenar kehidupan dan menjadikan kita lebih menghargai sesuatu. Mungkin sebab itulah Amir bersikap matang dan bertanggungjawab. Tidak seperti kanak-kanak biasa. Amir amat istimewa!
“Apa-apa pun, Amir berterima kasih sangat pada makcik. Makcik dah banyak tolong Amir dan ayah.. Amir janji akan balas jasa makcik bila Amir dah berjaya suatu hari nanti.”
    Amir bersuara dengan penuh bersemangat. Sambil tangannya digenggam erat, menampakkan semangatnya yang tidak dibuat-buat, Bebola mata Amir yang berwarna coklat tua itu merenung tepat ke dalam mata Puan Raida.
“Beruntung Arshad punyai anak seperti kamu..”
    Puan Raida tersenyum lalu mengusap kepala Amir. Aisyah yang sedang duduk bersimpuh disebelah ibunya, hanya tersenyum mendengar perbualan Amir dan ibunya. Aisyah adalah rakan sekelas Amir dan Aisyah merupakan  antara murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR di sekolahnya.
“Amir.. macammana keputusan UPSR awak?”
Aisyah yang sejak tadi hanya membisu akhirnya mula bersuara. Lunak sungguh suara Aisyah, Amir termangu-mangu tatkala mendengar soalan yang terlontar dari mulut Aisyah sebentar tadi.
“Ya Amir, macammana keputusan Amir?” rupanya Puan Raida juga tertanya-tanya akan keputusan peperiksaan Amir.
“Err....”
Amir tunduk sambil menggenggam kertas putih yang dipegangnya sejak dari tadi.

                                                                                  @@@@@@@


 “Ayah.. macammana ayah rasa sekarang? Dah semakin sihat?”
Amir duduk di sisi Pak Arshad sambil menyikat rambut ayahnya yang sudah mulai ditumbuhi uban itu. Sayu hati Amir melihat keadaan ayahnya.
“Alhamdulillah.. Ayah rasa dah semakin baik sekarang. Doktor kata cuma sakit biasa saja, gastrik..”
Pak Arshad terbatuk-batuk kecil sebelum menyambung kata-katanya.
“ Macammana keadaan Amir sendirian di rumah? Makanan di rumah masih cukup?”
“Semuanya baik-baik saja ayah, makanan pun masih cukup. Masih ada setin sardin, sebiji telur dan seikat sayur bayam yang ayah beli 3 hari lepas. Semuanya masih cukup ayah. Lagipun, Puan Raida selalu hantarkan makanan untuk Amir.”  Amir mengurut-urut dada ayahnya.
“Raida...” Desis hati Pak Arshad. Seperti ada getar di benaknya tatkala nama itu meniti di bibir Amir.
“Alhamdulillah.. Amir ada ucap terima kasih pada Puan Raida tak?” Pak Arshad memegang bahu Amir.
“Ada ayah, dan Amir dah berjanji nak balas semua jasa Puan Raida bila Amir dah besar nanti.”
     Amir berkata dengan penuh yakin dan bersemangat. Pak Arshad hanya tersenyum, dia tahu anaknya itu seorang yang bersemangat tinggi dan berani. Dia bangga memiliki anak seperti Amir.
“Oh ya, macammana keputusan peperiksaan Amir?”
            Pak Arshad hampir terlupa yang Amir sudahpun mendapat keputusan peperiksaannya tiga hari lepas. Pak Arshad berdebar-debar menanti jawapan dari Amir.
“Ini slip keputusan peperiksaan UPSR Amir ayah.”
     Sambil menghulurkan sekeping kertas berwarna putih kepada ayahnya, Amir menguntum senyuman yang seakan membawa makna tersirat. Pak Arshad mengambil kertas putih itu perlahan-lahan dari tangan Amir.
“Alhamdulillah….  Anak ayah dapat 5A! Tahniah Amir…”
     Wajah Pak Arshad yang tadinya kelihatan sayu dan lemah kini bertukar ceria, seolah-olah hilang segala derita sakit dan perihnya ketika mengetahui keputusan yang diperolehi oleh Amir itu. Di atas kertas putih itulah, tercatatnya keputusan UPSR yang telah diperolehi oleh Amir. 5 A, itulah pencapaian Amir setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi keputusan yang cemerlang. Betapa gembiranya hati seorang ayah apabila mengetahui bahawa anaknya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Segala kesakitan dan keperitan Pak Arshad sudah tidak dirasakannya lagi. Yang dirasainya saat itu hanyalah kegembiraan dan rasa penuh kesyukuran di atas kejayaan anaknya itu.
“Amir akan terus berusaha bersungguh-sungguh ayah, Amir nak jadi orang yang berjaya. Amir nak balas titik peluh dan jasa ayah membesarkan Amir selama ni. Amir sayangkan ayah. Ayah jangan tinggalkan Amir ya” Amir menggenggam erat tangan Pak Arshad, insan yang amat disayanginya itu.
“Amir anak ayah..” Pak Arshad menarik Amir lembut ke dalam pelukannya. Tanpa disedari, dua pasang mata milik  Pak Arshad dan Amir telah dibasahi air mata.


@@@@@@@@@
**Baca sambungan cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 2 di SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...