***Baca cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 3 di SINI
“Selamat pengantin baru.. semoga kekal abadi... bahgia ke anak cucu... Semoga murah rezeki... Alhamdulillah bertemu jodohnya... berkat kesucian akan terlaksana...”
AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 4)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Akhirnya, dalam keindahan pagi yang bening itu, tanggal 20 Disember 2012, bermula pada jam 9 pagi, maka berlangsunglah satu majlis pernikahan yang begitu meriah di banglo mewah milik Puan Raida yang tersergam indah itu. Ramai jiran tetangga dan saudara mara yang telah hadir untuk memeriahkan lagi majlis pernikahan tersebut. Bertemakan warna hijau lime, dipadankan dengan warna hijau pekat dan warna krim yang lembut, membuatkan majlis itu menjadi amat berseri. Ditambah pula dengan hiasan bunga manggar di sekeliling rumah. Bunga telur dan sedikit bunga mawar putih yang dihiaskan di pelamin, menambahkan lagi seri majlis pada pagi itu.
Para tetamu sedang asyik dengan agenda yang sedang dijalankan iaitu nyanyian lagu pengantin baru yang dinyanyikan oleh jiran tetangga dan saudara mara dari kalangan kanak-kanak remaja dan orang dewasa, sementara menanti kedua-dua mempelai turun bersanding. Nampaknya para tetamu sudah tidak sabar menanti kelibat kedua-dua mempelai.
Semua mata tertumpu ke arah kedua mempelai yang sedang berjalan menghampiri pentas pelamin berhias mawar putih yang indah itu. Pengantin perempuan dengan kemas menyusun langkah sambil melemparkan satu senyuman manis kepada para tetamu yang hadir. Dengan pakaian pengantin yang anggun bertatahkan berlian-berlian kecil, sambil menggenggam sejambak mawar merah beserta sedikit solekan pada wajah, cukup membuatkan wajah pengantin perempuan kelihatan berseri-seri, terserlah keayuan dan keasliannya sebagai seorang gadis melayu, sungguh menawan kalbu. Begitu juga pengantin lelaki yang berpakaian indah, kelihatan gagah dengan keris yang terselit kemas di pinggang, kedua-dua mempelai diiringi gadis-gadis kecil molek yang digelar ‘Flower Girl’. Sungguh comel sekali.
Amir menjeling ke arah Aisyah dengan satu senyuman indah terukir di bibir, Aisyah turut melirik senyum sambil tersipu malu. Amir tidak menyangka, bahawa hari itu bakal terjadi. Hari di mana dia sedang duduk bersanding di atas pelamin bersama gadis pujaan hati yang telah lama diimpikannya. Sungguh dia tidak menduga detik yang indah itu bakal bertandang dan menyinari hidupnya. Amir memanjatkan syukur kepada Illahi di atas segala kenikmatan hidup yang telah diberikan kepadanya. Amir amat bersyukur kerana telah mendapat kasih sayang yang tidak terperi dari ayahnya, walaupun ibunya telah lama meninggal dunia, namun kasih ayahnya terhadap dirinya tidak pernah berbelah bagi dan tanggungjawab ayahnya tidak pernah diabaikan sama sekali. Amir juga amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang amat dikasihinya. Segala penderitaan hidup yang dilaluinya bersama ayah dulu kini terbalas dengan sejuta kenikmatan. ‘Alhamdulillah.. Terima kasih di atas kurniaan-Mu ini, Ya Allah.. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku yang Maha Agung, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang’. Amir melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di hatinya.
Pak Arshad dan Puan Raida telah bersepakat untuk membatalkan perkahwinan mereka apabila Pak Arshad mengetahui bahawa Amir sebenarnya menyintai Aisyah. Pak Arshad amat terkejut, dia tidak menyangka sama sekali bahawa Amir akan bertindak untuk melupakan Aisyah dan telah menyetujui pernikahannya bersama Raida. Pak Arshad lah yang telah berbincang dengan Puan Raida untuk membatalkan perkahwinan mereka seterusnya melangsungkan perkahwinan Amir dan Aisyah. Kedua-dua mereka akur dengan kehendak dan takdir Illahi bahawa tiada jodoh di antara mereka. Mereka telah ditakdirkan bercinta, tapi tidak sempat memiliki, ditakdirkan bertemu kembali, tapi bukan untuk bersatu. Kerana mencintai, tidak semestinya memiliki.
Berbekalkan ketabahan hati dan kekuatan iman di dada, Pak Arshad dan Puan Raida berjaya menepis perasaan masing-masing dan lebih mengutamakan perasaan anak kesayangan mereka. Mereka tidak mahu kisah mereka itu berulang kembali dan terjadi kepada anak-anak mereka. Cukuplah hanya mereka sahaja yang merasai, betapa perihnya rasa kehilangan itu. Namun, tidak pernah sesekali timbul rasa menyesal di hati mereka, tidak pernah terlintas rasa ingin memberontak, kerana setiap apa yang berlaku itu, sudah menjadi ketentuan yang Maha Esa, dan pasti itulah yang terbaik buat mereka. Sebagai seorang manusia biasa dan hamba Allah yang lemah, mereka hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t yang berkuasa menentukan segalanya...
@@@@@@@@@@@@@
TAMAT
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
“Kita hanya mampu berusaha.. Hanya Allah menentukannya.. Segalanya adalah miliknya..”
Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen hasil nukilan PutRy CiNta... (^_^)y
Jom Baca sajak Ramadhan Dan Raya nukilan PutRy di SINI
Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen hasil nukilan PutRy CiNta... (^_^)y
Jom Baca sajak Ramadhan Dan Raya nukilan PutRy di SINI
No comments:
Post a Comment