Saturday, December 18, 2010

Aku Tak Menduga Sayangmu (Part 1)

Tok3!!~ Assalamualaikummmm...

Tuan PutRy datang bawak kaRya keCiL...
Nie cerpen saya buat masa umur 19 tahun,
klu x silap... hehe..
Apa2 pon, Enjoy your reading ya... (^_~)y






AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 1)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
    Awan yang kelabu berarak mendung menutupi langit biru. Cahaya mentari kelihatan sirna dipuput senja yang kian berlabuh. Angin petang mulai bertiup, rancak menampar-nampar pipi Amir, menambahkan lagi resah di hatinya. Tidak sampai seminit, titis-titis hujan sudah mulai turun membasahi bumi. Kelihatan Puan Raida sedang berlari-lari anak melulu keluar dari rumahnya, tergesa-gesa mengangkat pakaian di jemuran yang nyaris kuyup dibasahi hujan. Amir yang masih setia menanti kepulangan ayahnya  hanya duduk di tepi tangga rumah sambil memerhati gelagat Puan Raida, seorang janda yang beranak satu, iaitu jiran yang baru sahaja berpindah masuk ke rumah banglo di hadapan rumahnya yang hanya bersaiz sederhana dan sudah agak usang itu.
   Rumah banglo di hadapan rumahnya itulah yang menjadi santapan mata Amir setiap hari, sejak rumah itu siap dibina akhir tahun lalu. Rumah itu adalah impian Amir dan dia sememangnya telah lama menyimpan hasrat ingin memiliki rumah banglo secantik dan semewah itu. Hasrat dan keinginan yang tinggi di hati Amir telah membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membina sebuah rumah seperti itu kelak. Kelibat Puan Raida sudah tidak kelihatan. Pintu rumah banglo itu sudahpun tertutup rapat. Mungkin Puan Raida sudah masuk ke dalam rumah dengan mengangkat seraga pakaian yang dibawanya keluar sebentar tadi.
   Amir melihat jam dinding rumahnya, jam dinding yang telah dihadiahkan oleh arwah datuknya dulu. Jam menunjukkan pukul 9.47 minit malam. ‘Sudah lewat begini, kenapa ayah masih belum pulang?’. Desis Amir. Resah hatinya memikirkan ayahnya yang masih lagi belum pulang. Kebiasaannya Pak Arshad akan pulang ke rumah selewat-lewatnya pada pukul 7.30 malam. Pak Arshad akan habis bekerja pada pukul 7 malam dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke rumah dengan menaiki beca tuanya. Pak Arshad ialah seorang penarik beca yang sangat rajin. Pak Arshad hanya menarik beca pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, manakala pada hari Isnin hingga Jumaat pula Pak Arshad akan bekerja sebagai buruh binaan. Walaupun umurnya kian lanjut dimamah usia, dan terpaksa bersusah payah, berpenat lelah, bermandi peluh mengerah tulang empat keratnya untuk bekerja, namun pak Arshad tidak pernah berhenti mencari nafkah untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan anak tunggalnya, Amir. Pak Arshad berjuang seorang diri, mengasuh dan mendidik Amir sejak kematian isterinya 3 tahun yang lalu. Ketika itu Amir sedang berumur 9 tahun. Selama 3 tahun Pak Arshad menjadi ibu dan ayah kepada Amir, dialah ibu dialah ayah, dan ternyata Pak Arshad berhasil mendidik  Amir menjadi seorang anak yang bertanggungjawab serta soleh.
   Amir menampar-nampar nyamuk yang cuba menjamah darahnya. Terasa sejuk angin malam seakan mencengkam tulang. Setelah penat menunggu, ditambah pula dengan kesejukan angin malam yang menggigit, akhirnya Amir masuk ke dalam rumah dan menutup rapat pintu rumah. Sesekali dia membuka pintu dan melihat kalau-kalau ayahnya sudah tiba. Namun Amir hampa, kelibat ayahnya masih jua belum muncul. Amir membelek-belek kertas putih yang sejak dari petang tadi berada di tangannya. Kertas itu tidak lepas dari tangannya. Amir hanya melepaskan kertas putih itu ketika dia pergi menunaikan solat maghrib dan isyak sebentar tadi, tapi setelah itu, dia kembali mencapai dan memegang erat kertas putih itu. Terlalu berharga sehelai kertas putih itu buat dirinya, terlalu penting!
Tok! Tok! Tok!.......
   Bunyi ketukan pintu mengejutkan Amir dari lena, entah bila dia terlelap di atas tikar mengkuang di ruang tamu rumahnya, dia pun tidak sedar. Amir bangkit perlahan-lahan, terasa sengal bahunya, mungkin kerana tersalah tidur. Amir menggosok-gosok matanya sebelum melihat jam pada dinding.
“Hah? dah pukul 1 pagi??”
     Amir terkejut melihat jam yang sudah menunjukkan tepat pukul 1 pagi. Amir menggosok-gosok matanya lagi, tiba-tiba kedengaran bunyi suara memanggil namanya dari luar rumah.
“Amir.....Amir......”
   Sayup kedengaran suara itu memanggil-manggil nama Amir.  Pintu rumahnya diketuk berkali-kali. Amir bingkas bangun dan mengintai di sebalik tingkap, mencari-cari kelibat orang yang memanggil namanya sebentar tadi, tapi tidak kelihatan.
    Tiba-tiba bahu Amir disentuh dari belakang. Amir terperanjat lantas dia menepis tangan yang menyentuh bahunya lalu mengatur langkah untuk mempertahankan diri. Alangkah terkejutnya Amir apabila melihat ayahnya terbongkok lemah, seperti sedang menahan sakit yang amat perit.
“Ayah!!”
Amir menjerit memanggil nama ayahnya. Amir amat terkejut melihat ayahnya dalam keadaan begitu. Pak Arshad telah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci. Mungkin Amir terlupa untuk menguncinya petang tadi.
“Ayah, apa yang berlaku pada ayah?”
    Lantas Amir memapah ayahnya masuk ke dalam bilik. Terhinjut-hinjut Pak Arshad ketika dipapah Amir, sudah tidak berdaya lagi hendak mengeluarkan kata-kata untuk menerangkan apa yang berlaku kepadanya.
@@@@@@@@@
    Sayu Amir melihat sekujur tubuh ayahnya yang sedang terbaring lesu itu. Bermain-main di ruang fikirannya. ‘Apa yang berlaku pada ayah?..’ Mata Amir sudah berkaca, air mata yang sudah bergenang di tubir matanya hanya menanti masa untuk dicurahkan, namun Amir tidak mudah menangis, kerana Amir seorang anak lelaki yang kental dan tabah. Menangis bererti lemah, itulah prinsip Amir, anak lelaki tidak boleh menangis! Amir cuba meneguhkan kembali semangatnya yang kian pudar itu...
    Fikiran Amir kusut memikirkan apa sebenarnya yang berlaku kepada ayahnya. Adakah ayahnya sakit kerana dipukul orang atau sebaliknya. ‘Apa penyakit yang menyerang ayah? Kenapa ayah jadi selemah itu? Adakah kerana usia ayah yang semakin lanjut? Mustahil.. ayah baru berumur 37 tahun.’ Pelbagai soalan timbul menerpa ruang benaknya. Ternyata Pak Arshad kelihatan lebih tua dari usianya, mungkin kerana terlalu banyak melakukan kerja-kerja berat sepanjang hari.
“Eh, mana slip saya?”
     Amir menggelabah apabila mendapati kertas putih yang dipegangnya sejak dari tadi sudah tidak ada dalam genggamannya. Amir cuba mencari kertas itu di sekitar kawasan tempat dia sedang berdiri, tetapi tidak jumpa. Amir mulai panik, perlahan-lahan dia menarik nafas panjang dan berselawat. Setelah itu dia cuba mencari kertas itu di ruang tamu tempat dia terlelap semalam. Akhirnya Amir menemui kertas itu di atas tikar mengkuang di ruang tamu. Amir tersenyum lega lalu mengutip kertas itu. Tetapi, sekejap sahaja senyumannya itu menjadi hambar dan bertukar sayu, terasa pilu hati Amir tatkala terkenangkan ayahnya yang sedang terlantar sakit di hospital Sayyed al-Rasheed.
“Assalamualaikum...Amir tengah buat apa tu? Dah makan? Ni mak cik ada buatkan bubur untuk Amir”
     Lembut suara Puan Raida ketika berkunjung ke rumah Amir pada pagi itu. Amir tersenyum melihat Puan Raida dan anak perempuannya Aisyah yang sedang berdiri di muka pintu, membawa sebekas makanan.
“Wa’alaikumsalam... Terima kasih makcik, err..makcik, Aisyah, masuklah.”
     Dalam kepiluan yang melanda hati Amir saat itu, Amir sedaya upaya mengukir senyum lalu mempelawa Puan Raida dan Aisyah masuk. Perlahan-lahan Puan Raida dan Aisyah mengatur langkah menaiki anak tangga untuk masuk ke rumah Amir.
“Bagaimana keadaan ayah kamu Amir? Dah semakin baik?”
Puan Raida bertanya khabar Pak Arshad yang ketika itu sedang dirawat di hospital.
“Ayah dah semakin baik makcik, Terima kasih kerana makcik dah banyak bantu kami..Kalau tak, Amir tak tahu nak buat apa lagi..”
     Amir menyuarakan rasa syukur dan terima kasihnya kepada Puan Raida kerana sudi membantu mereka. Puan Raida telah menghantar Pak Arshad ke hospital yang berdekatan serta menjaga dan melihat keadaan Amir sepanjang Pak Arshad berada di hospital. Puan Raida juga telah membiayai kos rawatan Pak Arshad dan menjaga kebajikan Amir sepanjang Pak Arshad berada di hospital selama dua hari. Amir amat terhutang budi kepada Puan Raida. Amir amat bersyukur kerana masih ada orang yang sebegitu baik di zaman sekarang ini.
“Tak mengapa Amir.. kita kan berjiran, memang dah menjadi tanggungjawab makcik untuk bantu jiran yang sedang dalam kesusahan.. Lagipun, apa gunanya kita hidup berjiran kalau tak saling bantu-membantu, bukan begitu?”
    Sahut Puan Raida sambil tersenyum memandang Amir yang bertubuh kurus dan berkulit sawo matang itu. Puan Raida amat senang dengan tingkah laku Amir yang sopan, mentaati orang tua, bertanggungjawab dan matang. Walaupun Amir baru berumur 12 tahun tetapi sikap  Amir mempamerkan seolah-olah dia sudahpun berumur 16 tahun. Puan Raida amat mengagumi didikan Pak Arshad terhadap anaknya. Benarlah kata orang, kesusahan banyak mengajar kita mengenal erti sebenar kehidupan dan menjadikan kita lebih menghargai sesuatu. Mungkin sebab itulah Amir bersikap matang dan bertanggungjawab. Tidak seperti kanak-kanak biasa. Amir amat istimewa!
“Apa-apa pun, Amir berterima kasih sangat pada makcik. Makcik dah banyak tolong Amir dan ayah.. Amir janji akan balas jasa makcik bila Amir dah berjaya suatu hari nanti.”
    Amir bersuara dengan penuh bersemangat. Sambil tangannya digenggam erat, menampakkan semangatnya yang tidak dibuat-buat, Bebola mata Amir yang berwarna coklat tua itu merenung tepat ke dalam mata Puan Raida.
“Beruntung Arshad punyai anak seperti kamu..”
    Puan Raida tersenyum lalu mengusap kepala Amir. Aisyah yang sedang duduk bersimpuh disebelah ibunya, hanya tersenyum mendengar perbualan Amir dan ibunya. Aisyah adalah rakan sekelas Amir dan Aisyah merupakan  antara murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR di sekolahnya.
“Amir.. macammana keputusan UPSR awak?”
Aisyah yang sejak tadi hanya membisu akhirnya mula bersuara. Lunak sungguh suara Aisyah, Amir termangu-mangu tatkala mendengar soalan yang terlontar dari mulut Aisyah sebentar tadi.
“Ya Amir, macammana keputusan Amir?” rupanya Puan Raida juga tertanya-tanya akan keputusan peperiksaan Amir.
“Err....”
Amir tunduk sambil menggenggam kertas putih yang dipegangnya sejak dari tadi.

                                                                                  @@@@@@@


 “Ayah.. macammana ayah rasa sekarang? Dah semakin sihat?”
Amir duduk di sisi Pak Arshad sambil menyikat rambut ayahnya yang sudah mulai ditumbuhi uban itu. Sayu hati Amir melihat keadaan ayahnya.
“Alhamdulillah.. Ayah rasa dah semakin baik sekarang. Doktor kata cuma sakit biasa saja, gastrik..”
Pak Arshad terbatuk-batuk kecil sebelum menyambung kata-katanya.
“ Macammana keadaan Amir sendirian di rumah? Makanan di rumah masih cukup?”
“Semuanya baik-baik saja ayah, makanan pun masih cukup. Masih ada setin sardin, sebiji telur dan seikat sayur bayam yang ayah beli 3 hari lepas. Semuanya masih cukup ayah. Lagipun, Puan Raida selalu hantarkan makanan untuk Amir.”  Amir mengurut-urut dada ayahnya.
“Raida...” Desis hati Pak Arshad. Seperti ada getar di benaknya tatkala nama itu meniti di bibir Amir.
“Alhamdulillah.. Amir ada ucap terima kasih pada Puan Raida tak?” Pak Arshad memegang bahu Amir.
“Ada ayah, dan Amir dah berjanji nak balas semua jasa Puan Raida bila Amir dah besar nanti.”
     Amir berkata dengan penuh yakin dan bersemangat. Pak Arshad hanya tersenyum, dia tahu anaknya itu seorang yang bersemangat tinggi dan berani. Dia bangga memiliki anak seperti Amir.
“Oh ya, macammana keputusan peperiksaan Amir?”
            Pak Arshad hampir terlupa yang Amir sudahpun mendapat keputusan peperiksaannya tiga hari lepas. Pak Arshad berdebar-debar menanti jawapan dari Amir.
“Ini slip keputusan peperiksaan UPSR Amir ayah.”
     Sambil menghulurkan sekeping kertas berwarna putih kepada ayahnya, Amir menguntum senyuman yang seakan membawa makna tersirat. Pak Arshad mengambil kertas putih itu perlahan-lahan dari tangan Amir.
“Alhamdulillah….  Anak ayah dapat 5A! Tahniah Amir…”
     Wajah Pak Arshad yang tadinya kelihatan sayu dan lemah kini bertukar ceria, seolah-olah hilang segala derita sakit dan perihnya ketika mengetahui keputusan yang diperolehi oleh Amir itu. Di atas kertas putih itulah, tercatatnya keputusan UPSR yang telah diperolehi oleh Amir. 5 A, itulah pencapaian Amir setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi keputusan yang cemerlang. Betapa gembiranya hati seorang ayah apabila mengetahui bahawa anaknya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Segala kesakitan dan keperitan Pak Arshad sudah tidak dirasakannya lagi. Yang dirasainya saat itu hanyalah kegembiraan dan rasa penuh kesyukuran di atas kejayaan anaknya itu.
“Amir akan terus berusaha bersungguh-sungguh ayah, Amir nak jadi orang yang berjaya. Amir nak balas titik peluh dan jasa ayah membesarkan Amir selama ni. Amir sayangkan ayah. Ayah jangan tinggalkan Amir ya” Amir menggenggam erat tangan Pak Arshad, insan yang amat disayanginya itu.
“Amir anak ayah..” Pak Arshad menarik Amir lembut ke dalam pelukannya. Tanpa disedari, dua pasang mata milik  Pak Arshad dan Amir telah dibasahi air mata.


@@@@@@@@@
**Baca sambungan cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 2 di SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...