AKU TAK MENDUGA SAYANGMU (PART 2)
{BY: PutRy CiNta}
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Kringg…. Kringgg… Kringgggg….
Amir tersedar dari lamunannya, bunyi loceng sekolah menandakan waktu persekolahan telah tamat. Amir cepat-cepat mengemaskan buku dan pen yang bertaburan di atas meja tulisnya.
“Amir!.. Jom balik sama-sama”
Aisyah tersenyum manis kearah Amir ketika mempelawanya untuk pulang bersama-sama. Amir membalas senyuman Aisyah lalu mengangkat begnya dan menghampiri Aisyah.
“Jom” Amir menunjukkan isyarat tangannya. Mengajak Aisyah untuk pulang bersama.
“Jom...” Aisyah ketawa kecil lalu mengekori langkah Amir dan berlalu meninggalkan bilik darjah .
Begitulah setiap hari, Aisyah akan pulang dari sekolah bersama Amir. Amir akan menghantar Aisyah sehingga ke hadapan pintu pagar asrama perempuan dahulu, kemudian barulah dia pulang ke blok asramanya. Puan Raida telah memberi amanah kepada Amir untuk menjaga Aisyah. Amir sedaya upaya cuba melaksanakan amanah itu sebaiknya kerana Puan Raida telah banyak membantu Amir dan ayahnya. Amir amat terhutang budi kepada Puan Raida.
Setelah 5 tahun berlalu, usia Amir sudahpun mencecah 17 tahun dan Amir kini sedang berada di dalam tingkatan 5. Lima tahun yang lalu, Amir dan Aisyah adalah antara pelajar cemerlang UPSR yang telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh yang terletak di bandar. Kini mereka belajar dalam satu sekolah yang sama dan masih kekal sebagai rakan sekelas seperti 5 tahun dahulu.
Sudah 6 tahun Amir dan Aisyah belajar dalam satu kelas yang sama sejak dari darjah 6 lagi. Mereka bermain bersama, belajar bersama, pulang ke kampung bersama-sama dan beriadah bersama di hujung minggu ditemani rakan-rakan yang lain, semuanya menjadi rutin harian selama 5 tahun berada di sekolah yang sama. Sehinggakan ada segelintir pelajar malahan para guru, telah tersalah anggap hubungan rapat di antara mereka itu. Namun segalanya menjadi reda apabila rakan-rakan mereka dimaklumkan bahawa ibu dan ayah mereka adalah teman rapat. Disebabkan itulah Amir amat menjaga kebajikan Aisyah dan menemaninya selalu.
“Aisyah, awak ada apa-apa ke ngan Amir ni, ha? hmm.. mungkin mak ngan abah korang berdua dah tunangkan korang masa kat kampung dulu kot? Pasal tu la korang berdua ni rapat sangat, mengalahkan pasangan kekasih. O.. korang berahsia ek... hehehe”
Fisha tergelak kecil setelah semena-mena mengajukan soalan maut kepada Aisyah ketika mereka sedang duduk berkumpul di pondok cendawan belakang kelas sambil membincangkan tentang kerja kumpulan yang akan dibentangkan pada minggu hadapan. Dan tanpa dipinta, Fisha telah membuat tanggapan sendiri. Aisyah terpempan mendengar kata-kata Fisha itu. Serta merta wajahnya yang putih mulus itu merona merah, Kata-kata Fisha itu membuat hatinya jadi kacau. Tambahan pula tuan yang empunya diri itu turut berada di situ. Malu Aisyah diajukan soalan yang sebegitu rupa.
“Amir, sampai hati hang tak jemput aku pi majlis tunang hang, takpa.. makan nasik minyak esok jangan lupa jemput na.. hahaha” Irfan menambahkan lagi hangat suasana ketika itu.
“Fann... jangan nak memandai..” Amir menunjukkan buku limanya kepada Irfan tapi turut diiringi senyuman senget di bibir.
“Eh... muka Aisyah dah merah la... malu lah tu... hehehe..” Syika sengaja mengusik Aisyah yang kelihatan sudah tidak keruan sejak dari tadi.
“Mana ade.. korang ni kan..” Aisyah menolak lembut bahu Syika.
Aisyah cuba mengelak daripada bertemu mata dengan Amir yang duduk betul-betul di hadapannya. Malunya Aisyah saat itu hingga sudah tidak sanggup untuk mengangkat mukanya. Aisyah bukan tidak biasa diusik sebegitu, malahan sudah berkali-kali rakan-rakan sekelas mengusiknya dengan Amir, tapi entah kenapa, tiba-tiba lidah Aisyah kelu untuk menangkis usikan rakan-rakannya itu. Hatinya memberitahu, seakan-akan ada satu perasaan asing yang hadir bertandang dalam jiwa remajanya itu. Sesaat kemudian, kedengaran deraian tawa Fisha, Irfan dan Syika memecah suasana. Aisyah tertunduk malu tatkala terlihat sepasang mata sedang merenungnya lama, dengan satu senyuman kecil tersimpul di bibir, penuh bermakna.
@@@@@@@@@@
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, tanpa disedari Amir dan Aisyah kini telah berjaya menggenggam segulung ijazah. Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan DarsyiQ Ladzuardi, Amir dan Aisyah telah melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti Zufre de Xuiqifshee, yang terletak di negara Naorzs. Sungguh tidak disangka-sangka, mereka akhirnya memasuki universiti yang sama dan menamatkan pengajian bersama-sama. Amir telah menolak beberapa tawaran yang lain semata-mata kerana ingin mengikuti jejak Aisyah ke universiti Zufre de Xuiqifshee dan kebetulan, Amir sememangnya meminati kursus yang ditawarkan disitu. Berbeza pula dengan Aisyah, Universiti Zufre de Xuiqifshee itu sudah menjadi impiannya sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Aisyah telah lama bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke universiti itu, kerana di situlah tempat pengajian ibunya suatu masa dahulu yang telah menjadikan ibunya berjaya seperti sekarang ini.
“Tahniah sayang...”
Puan Raida mengucup lembut dahi Aisyah, di bibirnya terukir satu senyuman manis penuh kesyukuran. Setelah bersalaman dan mencium tangan ibunya memohon restu, Aisyah memeluk dan mencium pipi ibunya. Kelihatan sinar kegembiraan terukir di wajah kedua beranak itu.
“Tahniah Amir, anak ayah memang hebat!”
Pak Arshad memeluk Amir erat sambil menepuk-nepuk bahu anak kesayangannya itu. Titisan air mata kegembiraan mengalir membasahi pipi, pak Arshad amat bersyukur di atas kejayaan anak tunggalnya itu. Amir mencapai tangan ayahnya lalu mencium tangan itu dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang. Betapa besarnya kasih sayang dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Pak Arshad. Pengorbanan dan kasih sayang Pak Arshad itulah yang telah menjadikan Amir seperti sekarang ini, mampu berdiri gah menggenggam segulung ijazah.
@@@@@@@@@@
“Sya... Amir sayangkan Aisyah, lebih dari sayang sebagai seorang abang kepada adik, Amir berhasrat nak sunting Aisyah jadi teman hidup Amir, Amir nak jadikan Aisyah isteri Amir yang sah”.
Itulah saat yang telah lama dinanti-nantikan oleh Aisyah, Amir akhirnya meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Aisyah tunduk, cuba menyembunyikan wajahnya dari tatapan mata Amir, jantungnya berdegup kencang, perasaannya bercampur baur ketika itu, gembira, terharu, bercampur malu, tidak pernah dia rasakan perasaan seindah itu. Mungkin kerana selama ini dia terlalu mengutamakan pelajarannya sehingga tidak ada masa untuk memikirkan soal hati dan perasaan. Tapi sekarang, adakah sudah tiba masanya dia memberikan sedikit ruang kepada hatinya untuk bersedia menerima cinta dan kasih sayang daripada seorang insan bergelar lelaki?
“Aisyah...?”
Amir masih menanti jawapan dari Aisyah, Aisyah mengangkat wajahnya perlahan lalu merenung tepat ke dalam mata Amir yang galak itu. Terpamer keikhlasan di mata Amir, menunjukkan ada kejujuran dalam kata-katanya. Aisyah yakin bahawa Amir tidak membohonginya, dia yakin dengan apa yang baru sahaja didengarnya dari mulut Amir sebentar tadi, dan dia juga turut merasakan perasaan itu. Sungguh dia tidak menduga perasaan sayang itu akan bertukar menjadi cinta. Cinta sejati yang bakal membawa mereka ke jinjang pelamin.
“Hari ni adalah hari yang penuh bermakna dan membawa bahagia buat Aisyah. Aisyah tak mampu menipu diri sendiri. Hati berkata sayang, namun bibir terasa berat dan lidah kelu untuk meluahkan kata. Sebenarnya.. Aisyah juga rasakan yang sama, Amir. Terima kasih kerana menyayangi Aisyah”.
Aisyah menyusun kata-kata, menyampaikan maksud hatinya, menerima cinta Amir. Maka bermulalah kisah cinta antara Amir dan Aisyah. Amir tersenyum memandang gadis pujaannya itu, penawar hatinya. Di hatinya tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur kepada Illahi kerana doanya telah dimakbulkan, hasratnya yang telah lama terpendam, kini bakal menjadi kenyataan.
@@@@@@@@@@@
Amir dan Pak Arshad sedang duduk-duduk sambil mendengar radio di ruang tamu rumah mereka yang kini telahpun dibaiki dan sudah tidak usang lagi. Amir telah merancang untuk membeli rumah baru tetapi Pak Arshad menyuruh Amir supaya menyimpan dahulu wang tersebut untuk kegunaan yang lebih penting kelak. Lagipun, Pak Arshad amat menyayangi rumah lamanya itu. Sekadar mengecat dinding dan bumbung rumah, menukar perabot yang sudah usang, dan membaiki kerosakan kecil pada rumah itu sudahpun mencukupi bagi Pak Arshad. Biarlah anaknya sahaja yang merasai tinggal di rumah mewah, apabila anaknya sudah berkahwin dan memiliki rumah sendiri yang lebih besar dan lebih cantik dari rumahnya itu nanti.
“Amir.. sebenarnya ada perkara yang ayah nak cakap dengan Amir. Dah lama ayah nak beritahu, tapi tak ada masa yang sesuai. Ayah rasa, sekaranglah masa yang paling tepat untuk Amir tahu tentang perkara ni.”
Kata-kata Pak Arshad sebentar tadi amat menarik perhatian Amir. Amir tertanya-tanya, apakah yang bakal didengarnya dari mulut ayahnya sebentar lagi..
“Apa dia ayah?”
Amir memandang tepat ke dalam mata ayahnya yang redup itu. Pak Arshad memegang bahu Amir lalu menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-katanya.
“Amir dan Aisyah memang dah maklum yang ibu Aisyah, makcik Raida ,adalah teman sekampung ayah dulu, kan? Erm.. Ayah tak ceritakan pada Amir, sebenarnya makcik Raida ialah bekas kekasih ayah dulu, sebelum ayah berkahwin dengan umi Amir. Perkahwinan antara ayah dan umi Amir adalah atas pilihan keluarga. Ayah sangat sayangkan umi Amir... tapi, ayah sungguh tak menduga yang ayah akan bertemu kembali dengan Raida. Kemunculan Raida membuatkan ayah berfikir, apakah jodoh antara kami masih ada..?”
Pak Arshad terbatuk kecil sebelum menyambung kata-katanya. Amir tenang sahaja dan masih tekun mendengar semua yang akan disampaikan oleh ayahnya.
“Setelah 13 tahun terpisah, akhirnya kami ditemukan kembali. Dan itu pun setelah Allah mengambil umi Amir dari ayah. Mulanya ayah amat terkejut bila dapat tahu yang Raida dah berpindah masuk ke rumah banglo di depan rumah kita tu, tapi ayah cekalkan hati, mungkin itu ujian untuk ayah. Namun.. setelah ayah bekerja di rumah Raida selama 11 tahun, sepanjang tempoh Amir melanjutkan pelajaran, dari tukang kebun, ayah dinaikkan pangkat menjadi pemandu kepada Raida, setiap hari ayah menghantar dan mengambil Raida di pejabat, dan tanpa ayah sedar, perasaan yang dulunya dah terkubur, kini datang kembali. Ayah dan Raida dah lama merancang, hari perkahwinan kami adalah selepas Amir dan Aisyah dapat ijazah...”
Belum sempat Pak Arshad menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Amir berdiri dan bersuara.
“Ayah nak kahwin dengan Puan Raida?”
Agak keras suara Amir tetapi nadanya tidak tinggi, masih sopan dan ada rasa hormat.
“Ya Amir.. apa pendapat Amir?
“Amir....” Amir tidak meneruskan kata-katanya.
Amir menundukkan kepalanya lalu matanya dipejam rapat, kelihatan dahinya berkerut dan tangannya digenggam. Pak Arshad terpanar melihat reaksi Amir yang sebegitu.
bersambung....
bersambung....
**Baca sambungan cerpen Aku Tak Menduga Sayangmu Part 3 di SINI
No comments:
Post a Comment